PASIR SALAK: FELCRA Bhd menyerahkan sumbangan zakat perniagaan bernilai RM103,000 kepada 527 asnaf di kawasan Parlimen Pasir Salak pada Khamis.
Penyerahan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parimen Pasir Salak di Masjid Al-Ansar FELCRA Seberang Perak.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ramlee Abu Bakar berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk membantu masyarakat Islam yang memerlukan. Beliau berkata, pihaknya beriltizam untuk terus menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan membantu golongan memerlukan selaras dengan misi menjadi sebuah badan korporat yang prihatin dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Tajuddin pula berkata, sumbangan itu membuktikan keprihatinan kerajaan melalui anak-anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Jika ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan kerajaan tidak membantu, itu adalah fitnah semata-mata dan bagi pihak rakyat Pasir Salak, saya mengucapkan terima kasih kepada FELCRA kerana tidak melupakan kami di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Beliau yang juga bekas Pengerusi FELCRA yakin, anak syarikat kerajaan itu akan terus berjaya di dalam sektor yang diceburinya, dengan pelbagai rancangan masa depannya.