top of page

Tidak Sah Hukum Bayar Zakat Kepada Asnaf Tanpa Melalui Majlis Agama Islam

muinsapidin

IPOH: Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan umat Islam tidak sah hukumnya membayar zakat secara bersendirian kepada asnaf tanpa melalui Majlis Agama Islam.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan telah menubuhkan satu institusi yang bertanggungjawab mengenai kutipan zakat iaitu Majlis Agama Islam Negeri.

Beliau berkata, apa yang dibimbangi, jika masyarakat Islam terpengaruh dengan hasutan golongan tertentu supaya zakat dibayar terus kepada asnaf dan tidak melalui Majlis Agama Islam, maka akan pincanglah masyarakat Islam.

"Ada golongan yang cuba ambil kesempatan dalam hal ini, maka itu saya mengingatkan umat Islam supaya jangan terpengaruh dengan keadaan ini.

"Saya sekali lagi mengingatkan, membayar zakat kepada asnaf dengan bersendirian tidak sah hukumnya dan wajib dia bayar kepada majlis agama kerana kerajaan telahpun menubuhkan satu institusi yang bertangungajwab mengenai kutipan zakat,’’ katanya kepada Suara Perak di pejabatnya di Kompleks Islam, Ipoh pada Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai kempen yang sedang digerakkan oleh pihak tertentu di media sosial yang mendesak masyarakat Islam membayar zakat terus kepada asnaf dan tidak melalui Majlis Agama Islam.

Harussani menjelaskan, sebenarnya dari segi hukum syarak, apabila kerajaan telah mengutip zakat dengan cara teratur menurut undang-undang yang tepat, maka setiap orang Islam wajib membayar zakat fitrah melalui Majlis Agama Islam Negeri.

Sementara itu, beberapa orang penduduk sekitar Ipoh menyokong sistem pembayaran zakat melalui Majlis Agama Islam kerana ia dilihat lebih teratur dan merupakan badan yang mempunyai kuasa untuk mengutip zakat.

Hafiz Baharom dari Sungai Rokam berkata, umat Islam tidak harus terpengaruh dengan kempen dalam media sosial itu kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

``Sudah10 tahun saya membayar zakat kepada Majlis Agama Islam sebab saya tahu mereka akan mengagihkan kepada semua asnaf dengan baik dan saya amat berpuashati dengan majlis,’’ katanya.

Seorang peniaga, Jamaliah Man dari Manjoi berharap umat Islam tidak terpengaruh dengan gerakan kempen dalam media sosial itu kerana ia memberi impak yang negatif kepada umat Islam.

``Jangan cepat terpengaruh dengan anasir-anasir yang di luar sana kerana mereka merupakan golongan yang tidak bertanggungjawab yang suka mengelirukan masyarakat Islam.

``Pada pandangan saya seelok-eloknya diserahkan kepada Majlis Agama Islam, lebih baik daripada kita memberi terus kepada asnaf,’’ katanya.

Seorang penduduk Jelapang, Mohd Noor Ikhwan Jaafar pula berkata, sistem kutipan zakat fitrah yang sedia ada adalah yang terbaik untuk umat Islam.

``Kita tidak perlu bimbang dan runsing kerana Majlis Agama Islam merupakan satu badan yang bertanggungjawab mengutip zakat dan mereka mempunyai sistem yang dapat mengenalpasti status kebenaran seseorang yang bergelar asnaf untuk diagihkan bantuan,’’ ujarnya.


33 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page