KUALA KANGSAR: Datin Mastura Mohd Yazid memulakan tugasnya di Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar selepas beberapa hari dipilih menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu.
Mastura berkata, beliau kini secara rasmi boleh memulakan tugasnya selepas menerima garis panduan dari Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berhubung kaedah menjalankan tugas dalam keadaan menjalani tempoh edah.

Beliau mengakui amat teruja untuk menjalankan tugas serta memberi khidmat baktinya kepada rakyat di kawasan parlimen itu yang tidak putus-putus berkunjung ke kediamannya sejak Ahad lalu.
“Mufti telah memberikan saya beberapa panduan, sekiranya saya perlu berkhidmat atau usaha-usaha ke arah itu, saya dibenarkan, tetapi ada perkara-perkara yang seperti meraikan itu saya tidak dibenarkan.
“Sebenarnya saya nak ke pejabat sejak Isnin lagi, tetapi memandangkan Isnin dan Selasa pejabat tutup dan cuti kerana baru selesai PRK (Pilihan Raya Kecil), saya tangguhkan dahulu,” katanya ketika sidang media di pejabatnya pada Khamis.
Turut bersama di pejabat khidmat Parlimen Kuala Kangsar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman.
Mastura tiba di pejabatnya itu kira-kira jam 10 pagi diiringi anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.
Ahli Parlimen baharu itu berkata, fokusnya akan diberikan terhadap pelaksanaan dan merealisasikan janji dan manifestonya ketika PRK lalu.
Tambahnya lagi, beliau turut akan memastikan segala janji dibuat oleh arwah suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad kepada rakyat di parlimen itu turut dapat diselesaikan segera.
“Ini tanggungjawab besar bagi diri saya mengorak perjalanan memberikan khidmat bakti kepada orang Kuala Kangsar.
"Saya perlu bekerja keras melaksanakan semua yang sudah dijanjikan kerana tidak punya banyak masa untuk selesaikan masalah dan kehendak rakyat di sini," katanya.
Dalam pada itu, Mastura turut mengakui berasa terharu selepas memasuki pejabat yang dulu digunakan oleh arwah suaminya.
“Ini lah hari pertama saya datang ke pejabat dan saya berasa sangat terharu sebab ini lah jejak-jejak allahyarham masuk ke dalam pejabat dan ke biliknya,” ujar beliau.