top of page
muinsapidin

Pesawat Ringan Terhempas, Juruterbang Terselamat

CAMERON HIGHLAND: Sebuah pesawat ringan yang digunakan bagi penyemburan baja sebuah ladang teh terkenal terhempas berhampiran sebuah tokong di Tringkap, di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat jenis G-164A9 itu, Peter Hardy, 56, seorang warga Australia, hanya mengalami kecederaan ringan akibat impak pendaratan namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Muhd Haziq Hazmi berkata, saksi kejadian melaporkan pesawat berpusing sebanyak dua kali dan berlegar di udara sebelum terhempas di cerun bukit.

"Kami menerima panggilan mengenai insien berkenaan sekitar 01.35 petang dan sesampainya kami di sana, mangsa telah pun dikeluarkan.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya calar di lengan kiri dan bahagian badan dan kami telah melaksanakan pemeriksaan awalan untuk melihat samada terdapat letupan di pesawat berkenaan," katanya ketika dihubungi pada petang Rabu.

Haziq berkata, pihak bomba dan pihak polis masih lagi berada di kawasan pesawat berkenaan terhempas.

"Kami juga mendapat maklumat bahawa sebenarnya pesawat ringan daripada Subang ini digunakan untuk menabur baja di ladang teh Sungai Palas," katanya lagi.

Tambahnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata bagi rawatan lanjut.


14 views0 comments
bottom of page