top of page
muinsapidin

Ketepikan Perbezaan Politik – Zahid

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta umat Islam di negara ini supaya mengenepikan perbezaan politik demi untuk agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau, mereka mempunyai matlamat yang sama untuk agama Islam di samping mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru umat islam supaya kembali kepada al-Quran dan ajaran Islam yang sebenar, di samping mencernakan perbezaan yang wujud untuk memperkukuhkan lagi ummah.

“Apa sangat pegangan politik yang berbeza itu, terutama di kalangan umat Islam.

“Biarpun kita berbeza pegangan politik, perbagai parti politik, tetapi demi Islam, demi bangsa kita, demi negara kita, ketepikanlah perbezaan-perbezaan politik itu.

“Kita mempunyai matlamat yang sama, di dalam pergerakan agama kita yang syumul, kita juga mempunyai matlamat bersama untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Majlis Tadarus al-Quran Perdana kawasan Parlimen Bagan Datoh di Wisma UMNO Bagan Datoh, pada Rabu yang turut dihadiri ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Seramai 1,245 peserta daripada pelbagai parti politik, termasuk parti pembangkang dan pelajar Tadika mengambil bahagian di dalam majlis itu.

Zahid berharap Bagan Datoh akan menjadi contoh kepada perpaduan ummah di negara ini, yang mengenepikan perbezaan politik di kalangan masyarakat setempat.


24 views0 comments
bottom of page