top of page
muinsapidin

Jangan Lupa Tanggungjawab Syarie - Zahid

BAGAN DATOH: Badan korporat yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) diminta tidak melupakan tanggungjawab syarie bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, harta yang dimiliki wajar dikongsi bersama, seperti yang telah ditetapkan oleh syariat.

Bagaimanapun, kata beliau, ia bukanlah semata-mata kerana jumlahnya tetapi apa yang lebih penting ialah keikhlasan.

"Kita adakan majlis seperti ini supaya nak beritahu orang di sini bahawa ini bukanlah tanggungjawab korporat semata-mata tetapi juga adalah tanggungjawab syarie," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di sini pada Rabu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata, sebahagian daripada harta yang dimiliki adalah kepunyaan golongan asnaf seperti fakir miskin dan ibu tunggal.

Malah, katanya, rezeki halal yang diinfakkan pasti akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

"Seolah-olah kita tanam sebiji gandum, dan daripada biji tu akan tumbuh sepohon gandum, dalam sepohon gandum itu ada 10 tangkai dan setiap satu tangkai itu mempunyai 70 biji.

"Begitulah ganjaran besar dijanjikan oleh Allah SWT," katanya.

Seramai 1,051 penerima dari dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang dan Rungkup menerima sumbangan Ramadan daripada Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur.

Dalam kedua-dua majlis tersebut, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin diwakili oleh Ketua Pengarah Eksekutifnya SM Faisal Nasimuddin menghulurkan sumbangan sebanyak RM200,000 manakala Presma diwakili presidennya Noorul Hassan Saul Hameed menghulurkan sumbangan sebanyak RM100,000.


15 views0 comments
bottom of page