top of page
muinsapidin

Polis Tembak Mati Dua Penjenayah Dipercayai Warga Asing

SLIM RIVER: Polis menembak mati dua penjenayah yang dikehendaki dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Proton City - Behrang Ulu, dekat sini kira-kira jam 5.30 pagi Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, kedua-dua penjenayah lelaki itu berumur dalam lingkungan 40-an dan tiada pengenalan diri ditemui.

Menurut beliau, ketika kejadian, pasukan khas polis yang ditubuhkan sempena musim perayaan, telah terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja berwarna silver di Jalan Ulu Slim.

Menurut beliau, hasil semakan, didapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pihak polis cuba menahannya.

Bagaimanapun, kata beliau, pemandu kereta berkenaan terus memecut laju tetapi berjaya dipintas di Jalan Proton City - Behrang Ulu.

"Secara tiba-tiba salah seorang suspek telah melepaskan tembakan ke arah polis manakala seorang lagi telah menyerang dengan sebilah celoret (parang bengkok).

"Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan dan kedua-dua suspek terus rebah," katanya dalam sidang media di IPD Muallim, di sini pada Selasa.

Abdul Rahim memberitahu, dalam kejadian itu, sebuah kenderaan polis telah terkena tembakan suspek tetapi tiada kecederaan di pihak polis.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian, polis merampas beberapa barangan sepwrti sebuah kereta Proton Waja, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, dua butir peluru hidup dan empat kolonsong,tiga bilah parang, barang kemas dan peralatan pecah rumah.

Katanya, daripada siasatan lanjut, pihak polis percaya dapat menumpaskan satu kumpulan penjenayah yang telah melakukan pelbagai kegiatan jenayah serta menyelesaikan 14 kes samun di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah memberi maklumat bernilai sehingga dapat menumpaskan satu kumpulan samun yang aktif dan berbahaya ini," ujarnya.


59 views0 comments
bottom of page