IPOH: Kerajaan negeri akan merujuk kepada kerajaan Pusat berkaitan cadangan pembentangan pindaan Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 kepada kerajaan pusat sebelum membuat membawa perkara tersebut di Dewan Undangan Negeri bagi tujuan pindaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara tersebut perlulah mendapatkan kajian terperinci daripada pihak kerajaan pusat sebelum ianya dibawa ke peringkat yang seterusnya.
"Perak sebenarnya mempersetujui pindaan berkenaan namun kita perlu berbincang dengan kerajaan pusat bagi memperhalusi peruntukan enakmen tersebut.
"Kita juga akan mendapatkan pandangan daripada Peguam Negara di pelbagai peringkat termasuklah di tahap penyelarasan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan SUK pada Selasa.
Beliau mengulas pindaan enekmen yang dibuat kerajaan negeri Melaka berkaitan penganugerahan darjat kebesaran bagi mengekang kes-kes penganugerahan darjah palsu.
Tambahnya,pihak kerajaan negeri juga akan merujuk kepada enakmen di Selangor dan menilai lanjut kandungan serta hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang menyalahgunakan penganugerahan darjah kebesaran secara berleluasa.
Semalam, Persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Melaka meluluskan pindaan terhadap Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 yang antara lain memperuntukkan hukuman denda lebih berat, terhadap mereka yang disabitkan kesalahan.
Melalui pindaan enakmen berkenaan, denda bagi kesalahan penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran negeri Melaka dinaikkan daripada RM1,000 kepada antara RM250,000 dan RM500,000.