top of page
muinsapidin

PATI Dibenar Pulang Secara Sah Sambut Aidil Fitri

BAGAN DATOH: Berkuat kuasa serta merta, pendatang asing tanpa izin (PATI) dibenarkan pulang ke negara masing-masing secara sah bagi merayakan sambutan Aidil Fitri.

Bagaimanapun, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan sementara daripada kedutaaan atau pejabat pesuruhjaya masing-masing di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat dengan persetujuan dan kerjasama pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia dan pejabat pesuruhjaya tinggi beberapa negara lain seperti Bangladesh dan Myanmar.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan, tiada tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka memperolehi dokumen perjalanan yang sah dan pulang menggunakan jalan yang sah, sama ada dengan kapal terbang atau jalan laut.

“Jangan menggunakan tekong ataupun ejen-ejen yang risikonya akan menghadapi tindakan oleh pihak agensi penguatkuasaan ataupun mungkin bot-bot atau pun kapal-kapal penumpang yang disewa oleh tekong dan ajen-ejen ini tidak memenuhi spesifikasi yang akan membahayakan penumpang-penumpang yang terdiri daripada pati ini,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis tahlil, berbuka puasa dan solat maghrib bersama masyarakat kawasan DUN Rungkup di di Masjid al-Quro, di sini pada Selasa yang turut dihadiri ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Zahid mengingatkan tekong dan ejen supaya jangan mengambil kesempatan di atas kesempitan yang dihadapi oleh pendatang asing tanpa izin itu kerana nyawa mereka lebih penting.

Beliau menjangkakan lebih 250,000 pati daripada indonesia akan pulang ke kampung halaman masing-masing, termasuk menggunakan penerbangan khas yang disewa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu.

Ujarnya, kerajaan Malaysia juga bersedia untuk memproses kemasukan semula mereka secara sah sekiranya mereka mahu bekerja di negara ini.


9 views0 comments
bottom of page