IPOH: Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk diedarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) kepada warga kerja di Bangunan Perak Darul Ridzuan dan 13 jabatan di sekitar Ipoh.
Majlis penyerahan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan Exco Perak serta kakitangan SUK.
Antara jabatan yang terlibat termasuk Lembaga Muzium Negeri Perak, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Air Perak (LAP).
Terdahulu, sebelum majlis penyerahan bermula, warga kerja SUK bergotong-royong seawal jam 8 pagi untuk membuat persiapan menyedia dan memasak sebanyak 10 periuk bubur lambuk.