IPOH Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerima kunjungan hormat Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak 2016.
Kunjung hormat itu yang diketuai Menteri Muda Belia Dan Sukan Sarawak / Menteri Muda Perumahan Sarawak, Datuk Abd Karim Rahman Hamzah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Kunjungan itu antara lain bertujuan menjemput Dr Zambry serta skuad sukan negeri dan para pegawai pengiring untuk menyertai temasya SUKMA XVIII, Sarawak yang bermula 22-31 Julai depan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan selaku Ketua Kontinjen Perak serta beberapa orang wakil dari negeri Sarawak.
Shahrul Zaman berkata, bagi edisi SUKMA kali ini, seramai 561 orang kontinjen termasuk pegawai, urusetia, petugas dan pembantu akan terlibat menerusi pelbagai jenis acara sukan yang dipertandingkan.
Venue pertandingan pula akan melibatkan empat bahagian di Sarawak seperti Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Miri.
Menurut Abd Karim pula, segala persiapan rapi telah dijalankan bagi menerima 15 kontinjen dari seluruh negara, termasuk penglibatan Brunei.