IPOH: Penduduk di sekitar bandaraya Ipoh bergelap kerana bekalan elektrik terputus ketika umat Islam hendak berbuka puasa pada Isnin.
Antara kawasan yang terjejas berikutan ketiadaan elektrik itu adalah Medan Istana, Jalan Hospital, Fair Park, Medan Kidd, Bercham, Pengkalan, Ampang dan pusat bandar Ipoh.
Gambar Hiasan
Selain itu, berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk dan suasana penggunaan jalan raya menjadi agak kecoh terutamanya di laluan utama berikutan lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Ramai pengguna jalan raya turut menghadapi masa yang sukar untuk memandu berikutan ketiadaan lampu jalan khususnya di jalan-jalan kecil sekitar Ipoh.
Terdapat juga desas-desus mengatakan bahawa "blackout" di sekitar Ipoh tersebut berlaku berikutan pencawang di IGB Tasek yang meletup.
Pengurus Kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor ketika dihubungi Suara Perak mengesahkan terdapat beberapa kawasan yang mengalami "blackout" namun menafikan kejadian pencawang meletup.
"Memang terdapat kawasan tertentu di Ipoh dan di luar Ipoh yang mengalami kejadian berkenaan namun kami masih menyiasat punca kerosakan di beberapa Pencawang Masuk Utama (PMU) setinggi 132kV itu.
"Antaranya adalah Seri Iskandar, Tasek, Gopeng, Pengkalan dan Taman Seri Botani," katanya ketika dihubungi.