top of page
muinsapidin

Mastura Dibenar Temui Pengundi –Tan Sri Harussani

IPOH: Calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Yazid yang memenangi kerusi P.067 Kuala Kangsar dalam PRK pada Sabtu dibenarkan menemui pengundi atas dasar kewajipannya sebagai seorang Ahli Parlimen.

Menurut Mufti Kerajaan Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Mastura hanya dibenarkan menemui pengundi di kawasannya sekiranya berlaku masalah seperti bencana ribut dan tidak dibenarkan nampak berlebihan seperti menghadiri majlis majlis kenduri kendara dan majlis bagi meraikan kemenangannya buat masa ini.

``Saya menasihatkan beliau supaya menjalankan perkara-perkara yang baik, umpamanya kalau ada masalah di kawasannya seperti bencana ribut, dia hendak pergi menziarahi, maka dia boleh pergi ziarah.

``Tetapi buat sementara ini seperti majlis kenduri kendara, dia tidak perlu pergilah walaupun dia menang kerana itu adalah larangan maka tak usah pergi dari segi kewajipan dia boleh pergi,’’ katanya kepada Suara Perak pada Ahad.

Harussani selanjutnya menjelaskan, dalam hal seperti itu kalau seorang yang dalam iddah, pertama kalau lapar dia boleh keluar, kedua kalau berniaga dia boleh menguruskan perniagaannya kerana dia mempunyai pekerjaan maka dia boleh pergi melaksanakan pekerjaan.

Semalam Mastura telah disytihar menang selepas meraih sebanyak 12,653 undi mengalahkan Dr Najihatussalehah (PAS) yang sekadar memperolehi 5,684 undi, Dr Ahmad Termizi (Amanah) sebanyak 4,883 undi dan Izat Bukhary (Bebas) 54 undi dengan majoriti sebanyak 6,969 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.


22 views0 comments
bottom of page