KUALA KANGSAR: Selepas menghina dan mencerca PAS sepanjang tempoh dua minggu berkempen, Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat umpama menjilat semula ludah mereka apabila mempelawa bekas 'kembarnya' untuk kembali ke meja rundingan, kononnya untuk kebaikan bersama.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa, kekalahan partinya di PRK P.067 Kuala Kangsar adalah isyarat utama daripada rakyat yang memerlukan gabungan parti pembangkang kembali utuh.
Menurutnya, masih ada masa untuk perbaiki dan mereka akan buat kajian semula mengenai keputusan itu yang turut menyaksikan calon Amanah mendapat undi lebih kurang daripada calon PAS.
“Kita selalu terbuka untuk buat perbincangan dengan PAS dan dari dulu lagi kita sememangnya sudah ke arah itu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Amanah Kuala Kangsar di sini sejurus selepas pengumuman keputusan yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) diumumkan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mengiakan pendapat Salahuddin selain terbuka untuk mempelawa PAS menyertai Pakatan Harapan.
Katanya, pertandingan empat penjuru jelas memberi kesan kepada pembangkang untuk menewaskan BN di Parlimen berkenaan.
"Jika PAS tak nak kalah, perlu elak pertandingan seumpama ini, kita sentiasa terbuka, tetapi PAS perlu ikhlas," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Perak itu mendakwa, 300 pengundi yang dikenalpasti penyokong setia DAP telah dipindahkan ke kawasan Parlimen Padang Rengas.
Menurutnya, tindakan SPR itu adalah tidak adil dan menjadi salah satu sebab undi Amanah berkurangan.
"Kita juga dapat tahu semua mereka tidak dimaklumkan tentang perubahan berkenaan," ujarnya.