KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid selesai menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pengundi apabila mengundi di Sekolah Raja Perempuan Muzwin Kuala Kangsar pada jam 8.38 pagi tadi.
Beliau yang diiringi isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Hamidah Khamis, tiba di Pusat Mengundi Sekolah Raja Perempuan Muzwin pada jam 8.30 pagi sebelum membuat semakan pengundi di pusat pengundian itu.
Ketibaan calon BN itu menjadi tumpuan jurugambar dan juruvideo media massa sebaik tiba bermula dipintu masuk sekolah berkenaan sehingga selesai mengundi.
Mastura yang dikenali dengan sifat ramahnya turut menyapa pengundi-pengundi BN termasuk seorang wanita warga emas yang berkerusi roda yang datang untuk mengundi di pusat mengundi itu.
Sebaik keluar dari perkarangan sekolah, Mastura turut menyapa penyokong-penyokong BN yang berada di sepanjang jalan sebelum bertolak pulang ke kediamannya.
Seramai 32,632 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar P.067 hari ini.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 23 pusat mengundi dengan 21 daripadanya adalah sekolah manakala dua lagi dewan orang ramai telah dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.067 Kuala Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru diantara calon BN, Mastura, calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Daripada keempat calon itu, hanya Mastura sahaja yang berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Kuala Kangsar manakala calon PAS merupakan pengundi Parlimen Parit, Calon Amanah, Dr di Shah Alam, Selangor manakala Izat Bukhary di Kelantan.
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohamad Khair-il-Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.
Sementara itu, dalam tinjauan Suara Perak mendapati ramai pengundi keluar mengundi awal pagi tadi bagi mengelak kesesakan sebaik pusat-pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi