KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen P.067 Kuala Kangsar apabila menewaskan tiga calon lawannya pada Pilihan Raya Kecil itu pada Sabtu. Calon BN, Datin Mastura Yazid menewaskan calon PAS, ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, naib ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar profesor Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti sebanyak 6969 undi dengan meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.
Calon PAS Dr Najihatussalehah mendapat 5,684 undi, calon Amanah, Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli mendapat 4883.undi manakala calon Bebas, Izat Bukhary Ismail mendapat 54 undi. Keputusan kemenangan calon BN Datin Mastura diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kuala Kangsar, Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Perak pada Sabtu sekitar jam 10.00 malam. Sebanyak 23 pusat mengundi telah dibuka bagi proses pembuangan undi di mana jumlah keseluruhan peti undi termasuk jumlah undi ditolak ialah 239. PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Khair-il-Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim.