KUALA KANGSAR: Penduduk Kuala Kangsar perlu berwaspada dengan pemimpin yang hanya muncul bermusim, khususnya ketika pilihan raya dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemimpin yang wujud ketika musim pilihan raya tidak mempunyai agenda untuk membangunkan rakyat di sesuatu kawasan, sebaliknya hanya berminat mendapatkan kuasa daripada rakyat.
Menurut beliau, tindakan mereka ini boleh dipertikaikan keikhlasannya sebab mereka muncul pada ketika PRK dan berhujah bermacam-macam (isu).
“Kadang-kadang itu yang dibangkitkan orang di sini pun tak pernah dengar atau tidak ada kena mengena dengan penduduk tempatan," katanya kepada pemberita selepas program pemimpin bersama rakyat serta gotong-royong membaiki rumah seorang ibu tunggal di Kampung Bendang Kering di sini pada Khamis. Beliau mengulas tindakan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim yang tiba-tiba muncul pada program Parti Amanah Negara (Amanah). Hishammuddin berkata, pemimpin seumpama itu hanya muncul dengan menjanjikan pelbagai perkara selain melemparkan pelbagai tohmahan, sedangkan Barisan Nasional (BN) berusaha memberi kemudahan asas dan khidmat kepada masyarakat. "Kita perlu bertanya sama ada bolehkah percaya terhadap seseorang yang menabur pelbagai janji ketika ingin meminta pertolongan atau mempercayai orang yang telah terbukti memberi khidmat secara ikhlas kepada kita selama ini iaitu kerajaan BN," ujarnya. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata rakyat perlu sentiasa ingat dan menolak pemimpin serta parti seperti itu yang hanya mementingkan diri sendiri.