top of page
muinsapidin

Gerakan Terdesak, Menjijikan Untuk Memfitnah Mastura

KUALA KANGSAR: Pihak Barisan Nasional (BN) telah mengesan satu gerakan langkah terdesak oleh sesuatu pihak dengan menggunakan taktik kotor untuk memfitnah calon Barisan Nasional P.067 Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid.

Pengarah Pilihan Raya, PRK P.067, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gerakan itu adalah satu usaha yang jijik lagi menjengkelkan dengan menggunakan slip bayaran kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & Partners pada tahun 2012.

Menurut beliau, slip bank itu dijadikan bahan kempen seolah-olah Mastura menerima habuan sebanyak RM500,000 pada pilihan raya ini daripada seseorang.

“Saya telah mengarahkan laporan polis dibuat dengan kadar segera supaya pihak polis dapat membuat penyiasatan.

“Amat malang sekali dalam bulan Ramadan yang mulia ini, fitnah keterlaluan seperti ini dilakukan bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil ini. Ini merupakan suatu perbuatan yang amat jelek,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Dr Zambry menjelaskan, pada hakikatnya slip bayaran yang ditonjolkan hanyalah bayaran atau pendahuluan kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & Partners, di mana beliau merupakan seorang rakan kongsi.

“Adalah lumrah untuk sesiapa juga memasukkan wang ke dalam akaun firma guaman atas pelbagai tujuan seperti wang deposit pembelian rumah, bayaran perkhidmatan guaman, pembelian hartanah atau pembelian saham. Akaun bank firma, bukan akaun peribadi, di mana ia akan diaudit oleh Majlis Peguam setiap tahun,” ujarnya.

Beliau menambah, peguam tidak boleh menggunakan wang di dalam akuan berkenaan kerana perbuatan sedemikin melanggar etika seorang peguam dan boleh didakwa mahkamah.

Jadi, kata beliau, tidak timbul, Mastura terlibat dalam mana-mana aktiviti serta kegiatan yang melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi-pengundi Kuala Kangsar agar tidak terhasut dengan fitnah jahat ini.


28 views0 comments
bottom of page