KUALA KANGSAR: Sejak merdeka lagi, Barisan Nasional (BN) telah menunjukkan kesatuan yang mantap di kalangan parti komponen itu dengan membawa `suara rakyat’ ker Parlimen.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dasuki, berkata, ini amat berbeza dengan parti-parti pembangkang yang hanya sekadar mahu ke Parlimen kerana kuasa tetapi masih berdepan dilema kerana pertelingkahan dalaman.
“Kita dalam BN, sejak merdeka lagi telah membuktikan bahawa kesatuan dalam parti-parti komponen ini amat baik sekali,” katanya kepada pemberita pada program Ziarah Kasih Pengundi Uzur dan Penyerahan Bantuan Keperluan dan Perubatan daripada rumah ke rumah di Kampung Bendang Panjang pada Jumaat.
Turut mengiringi beliau, Adun Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.
Menurut Dr Asyraf, pada program itu beliau telah mengunjungi 30 buah rumah untuk menemui dan mendengar harapan penduduk yang rata-rata menyatakan bahawa mereka masih merasai kehilangan Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Beliau berkata, arwah amat prihatin dan dekat dengan mereka kerana sentiasa turun padang dalam menjaga hal-hal kebajikan penduduk di kampung tersebut.
“Sebenarnya kerja-kerja kita di sini lebih mudah kerana kita hanya meneruskan kesinambungan perjuangan arwah dan BN sahajalah yang telah terbukti dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” ujarnya.