"Kita kenal satu sama lain. Ini tempat (Kuala Kangsar) kita. Kita tahu apa yang baik dan apa yang kita mahu. Kita yang tentukan masa depannya".
Begitulah luahan hati calon Barisan Nasional Datin Mastura Yazid ketika menyampaikan pesanan terakhirnya kepada 32,632 pengundi Kuala Kangsar yang akan keluar mengundi esok.
Beliau merayu kepada pengundi supaya diberikan dirinya peluang untuk berkhidmat bakti kepada orang Kuala dengan memberikan kemenangan kepada BN.
Dalam memberi pesanan terakhir itu, Mastura turut mengambil peluang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi atas pagar yang menurutnya ada telah menyatakan sokongan mereka untuk dirinya.
"Mereka ada datang jumpa saya. Saya ada beritahu bahawa mereka perlu nyatakan sokongan secara jelas dan nyata. Saya kenal mereka," katanya.
Beliau bercakap demikian dalam satu sidang media sehari sebelum hari pengundian esok.
Mastura berkata beliau yakin kemenangan akan menjadi milik BN dengan majoriti yang lebih baik.
Katanya keyakinan itu berdasarkan maklum balas daripada anak-anaknya yang telah berjumpa pengundi sepanjang tempoh berkempen.
"Mereka telah berjumpa ramai kawan-kawan arwah sepanjang tempoh dua minggu berkempen. Mereka telah meminta supaya pengundi memberi sokongan kepada ibunya," katanya.
Ditanya mengenai reaksinya terhadap kenyataan bekas Ketua Bahagian Datuk Ramly Zahari, katanya beliau sentiasa menganggap Ramly sebagai abang yang banyak pengalaman dalam politik.
Tegasnya beliau tiada masalah dengan Ramli dan amat mengenali isterinya yang dikenali dengan nama 'Kak Om'
"Saya dan Kak Om telah bersama-sama dalam membuat pelbagai program ketika saya berada dalam BAIDURI," katanya.
Ditanya mengenai poster-poster yang dinaikan sekitar Kuala Kangsar bagi menyatakan tidak puash hati dengannya, beliau menjawab:-
"Keadaan seperti ini agak lumrah dalam mana-mana pilihanraya. Saya tahu siapa mereka. Cuma saya berharap kita dapat bertanding secara sihat," katanya.