KUALA KANGSAR: Tidak cukup dengan mengkritik pucuk pimpinan UMNO, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Rafizi Ramli kini mula bertindak mempersendakan tugas pihak polis.
Beliau mula mempersoalkan kredibiliti pihak polis di dalam ceramahnya sejak Selasa lepas setelah empat individu membuat laporan polis mengenai ucapannya mengenai bom atom.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengumumkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka ke atas Rafizi di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Ahli Parlimen Pandan itu juga seolah-olah mentertawakan tindakan pihak polis yang hanya menjalankan tugas mereka ke atas intipati ucapannya yang seolah-olah ingin melakukan aniaya kepada Perdana Menteri.
“Kalau pihak polis, pihak berkuasa kalau dia nak buat lawak bodoh, saya boleh buat lawak lagi bodoh. Kalau dia nak siasat saya tentang bom atom, kerja gila.
“Banyak lagi masalah dalam dunia dia boleh siasat, nak siasat kes gila, saya boleh beri keterangan gila,”katanya dalam ucapannya dalam Ceramah Pentas Perdana #bongkar di perkarangan Pejabat Amanah di Daeng Selili, di sini pada Rabu malam.
Menurutnya, beliau tidak menghiraukan sekiranya Peguam Negara ingin mendakwanya berkenaan kes itu dan akan memasuki kandang saksi di mahkamah dengan memberi jawapan gila ketika disoal.
“Saya tak takut, kalau polis mahu tangkap sama saya, sebab dah macam-macam kes dan bisnes saya buat. Saya dah set dah apa mau jawab.” Katanya dengan nada bongkak.
Dalam pada itu, Rafizi Ramli dilihat cuba melaga-lagakan Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian Sabtu ini apabila mendakwa berlaku perpecahan ekoran rasa tidak puas hati penyokong UMNO terhadap pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid. Dakwanya, pemilihan Mastura tidak disokong bekas ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari, akar umbi UMNO Kuala Kangsar dan Wanita UMNO.