KUALA KANGSAR: “Tak kelas la dengan aku,”- itulah antara komen bongkak Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli ketika menolak permintaan Datuk Rizal Mansor untuk menerangkan mengenai kegunaan jet peribadi Datin Seri Rosmah Mansor ke Istanbul, Turki.
Kenyataan berbaur sombong itu dilontarkan di hadapan kira-kira 300 penonton ceramah Pentas Perdana #bongkar di Jalan Daeng Selili, di sini pada Rabu malam.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hanya Rosmah layak berdebat dengannya mengenai isu jet ACJ 319 yang digunakan untuk ke Istanbul pada 25 Mei lepas.
“Pucuk pimpinan UMNO kata saya penakut. Saya tak takut, tapi buat apa dengan pegawai (Datuk Rizal Mansor) yang tugas dia tolong bawa beg tangan Rosmah, malu la.
“Dia bukan boleh jawab apa pun, kalau nak debat dengan saya tiada masalah, saya sanggup dan alu-alukan tapi dengan syarat saya nak debat dengan Rosmah sendiri, buat apa dengan Rizal Mansor,” katanya dalam ucapan berjela di hadapan penyokongnya.
Naib Presiden PRK itu juga bersikap angkuh dengan mengatakan bahawa selain Rosmah, beliau bersedia berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disifatkannya hanya sebagai pembantu kanan Rosmah.
“Rosmah tak berani tak apa, saya boleh tanya Najib Tun Razak. Tetapi saya tak nak berdebat dengan pembantu nombor lima ratus, tukang angkat beg tangan Rosmah, koman sangat,” ujarnya dalam nada sinis.
Rafizi turut mengutuk tindakan Rizal yang cuba mengganggu perjalanan sidang media juga menuduh bahawa pembantu khas itu hanya datang untuk merekod suasana kacau-bilau dan kekecohan di Pejabat Amanah untuk paparan orang ramai.
“Kesian, ada satu video dekat Malaysiakini kata Datin Seri Rosmah sedih, oh sedih dia? Saya bangga betul saya berjaya buat Rosmah sedih. Dia kata kenapa la kacau dia semua, dia buat semua tak kena,” katanya lagi.
Dalam ceramah yang dihadiri pemimpin Amanah dan DAP itu, sebuah replika Airbus ACJ 319 telah dibawa masuk ke dalam lokasi ceramah dan dipamerkan di hadapan orang ramai.