KUALA KANGSAR: Bekas Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim menyokong calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli yang bertanding dalam PRK Kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
Sokongan itu dibuat semasa berucap dalam Deklarasi Rakyat yang diadakan di Pekan Manong pada Khamis.
Menurutnya, Termizi merupakan calon berkelayakan dan dilihat mampu membantu masyarakat setempat sekiranya terpilih selaku ahli Parlimen.
"Pangkahlah Dr Termizi, orang Suak Petai. Apa lagi nak, ada 'title' profesor, cakap pun hebat.
"Banyak benda nak buat ni, buat rumah kos rendah, klinik dan kalau boleh bantu ibu-ibu yang amat mengharapkan bantuan dari sudut kesihatan," katanya.
Beliau mendakwa, sokongan yang diberikan kepada Termizi merupakan satu jihad dalam melakukan transformasi ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.
"Ini satu jihad, bukan hanya kepada umat islam tetapi kepada semua rakyat malaysia. Kita ada peluang untuk merubah kemungkaran dengan kuasa mengundi," katanya.
Menurutnya, sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Termizi turut menjadi faktor penyumbang beliau melakukan tindakan sama.
Sementara itu pula, Mahathir dalam ucapannya mengakui deklarasi diketuainya tidak akan mampu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berdalih, ia dilaksanakan hanya untuk mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan rakyat supaya Perdana Menteri sedar rakyat tidak menyukainya.
Mahathir yang berucap sekitar 30 minit juga tidak henti-henti menyerang Najib berbanding mengutarakan isu-isu setempat yang lebih bermakna buat rakyat.