KUALA KANGSAR: Walaupun pembangkang cuba memperlekehkan projek Jambatan Manong kononnya ia hanya gula-gula pilihan raya, sah akan dimulakan Mac tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadhilah Yusuf berkata, kerja-kerja awal akan dimulakan 1 Mac 2017 dan dijangka siap 1 Mac 2019.
Menurut beliau, projek bernilai RM43.5 juta itu, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil usaha bersungguh-sunggun Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
"Ia akan mula dilaksanakan tahun depan, ia bukahlah gimik politik kerana Perdana Menteri apabila berjanji, beliau akan tunaikan," katanya kepada media ketika melawat tapak projek itu di Manong pada Khamis.
Hadir sama exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, ADUN Manong, Mohd Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan.
Projek itu akan melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 300 meter yang menelan kos RM21.6 juta, jalan tiga kilometer (RM8 juta), pengambilan balik tanah (RM6 juta) dan lain-lain (RM7.9 juta).
Jambatan tersebut mempunyai kelebaran 12 meter dengan dua lorong untuk kedua-dua hala.