KUALA KANGSAR: Seperti kata pepatah Melayu `ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ begitu juga halnya anak-anak Datin Mastura Mohd Yazid yang saling tidak tumpah memiliki semangat dan tingkah laku terpuji arwah bapa mereka semasa turun berkempen berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum di kawasan Parlimen Kuala Kangsar.
Bagi anak sulung Allahyarham Wan Mohamed Khair-il Anuar Wan Ahmad, Wan Emir, 26, adik-adiknya Wan Emar, Wan Iskandar dan Wan Amar, semua itu sudah menjadi kebiasaan kepada mereka kerana pernah mengikut arwah bapa turun padang menabur bakti kepada penduduk Kuala Kangsar.
Menurut Wan Emir, pengalaman berkempen merupakan satu pengalaman baru yang cukup istimewa buatnya dan adik-adik demi memastikan kemenangan ibu mereka.
"Pada peringkat akhir ini kami lebih memberi tumpuan berkunjung rumah ke rumah, berjumpa sendiri dengan pengundi dan maklum balas yang kami terima amat positif sekali,’’ katanya ketika ditemui semasa bertemu penduduk di Kampung Bendang Panjang, Kuala Kangar pada Khamis.
Wan Emir berkata, dalam kempen rumah ke rumah juga, dia amat tersentuh kerana diberitahu oleh seorang penduduk bahawa arwah bapanya pernah menyampaikan kerusi roda kepada seorang penduduk warga emas yang uzur.
``Kami dapat tahu betapa besarnya jasa arwah, contohnya semalam, saya berjumpa dengan orang yang menunjukkan kerusi roda yang arwah pernah berikan kepada mereka .
``Jadi perkara perkara inilah yang membuat kami sedar bahawa rupa-rupanya arwah banyak jasanya yang dia sendiri tidak pernah beritahu kami,’’ ujarnya.
Wan Emir menyifatkan pembabitan pertamanya dalam kempen itu sebagai jejak memori arwah bapanya dan menyampaikan salam ibunya kepada pengundi-pengundi di Kuala Kangar.
"Dalam minggu terakhir ini, fokus kami adalah untuk memastikan kemenangan 100 peratus ibu kami pada PRK ini,’’ katanya.
Beliau turut mengakui rasa berdebar-debar kerana menanti ketibaan hari pembuangan undi 18 Jun nanti dengan mendoakan agar kemenangan berpihak kepada ibunya.
Ditanya mengenai kemungkinan mengikut jejak arwah bapanya menjadi orang politik, Wan Emir menjelaskan bahawa masih terlalu awal untuknya memikirkan perkara itu dan menyerahkannya kepada Tuhan.
``Sekarang ini apa yang penting saya dan adik beradik mahu memberikan tumpuan utama keapda kemenangan ibu kami pada PRK ini,’’ ujarnya.