KUALA KANGSAR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah membantu 8,767 usahawan wanita India dengan jumlah pembiayaan RM97.4 juta sehingga April 2016.
Seramai 2,912 daripada mereka merupakan usahawan dari Perak dengan pinjaman RM44.6 juta.
Daripada jumlah itu pula, sebanyak RM9.7 juta telah diberikan kepada usahawan wanita India di Kuala Kangsar.
Berdasarkan kepada kejayaannya membantu golongan keterbawahan, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan AIM adalah antara institusi terbaik di dunia.
"Tiada sebuah institusi di dunia yang membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah seperti AIM, kecuali ada di Bangladesh yang menyediakan skim mikro kredit," katanya ketika berucap pada Program Keusahawanan Kawasan Parlimen Kuala Kangsar di Dewan India di sini pada Khamis.
Malah, kata Dr Zambry, pemenang Hadiah Nobel, Profesor Muhammad Yunus dari Bangladesh sendiri mengakui bahawa sistem AIM adalah yang terbaik di dunia.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan sahabat AIM supaya memanfaatkan sepenuhnya pinjaman yang diberikan, untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan mereka supaya bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin kerajaan yang banyak membantu.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Zambry yakin masyarakat India akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRK P067, 18 Jun ini.
Bagaimanapun, beliau berharap jentera BN akan sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi serangan pembangkang pada saat-saat akhir kempen.