top of page
muinsapidin

Rizal Dihalang Masuk Sidang Media Rafizi

KUALA KANGSAR: Pegawai Khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor dihalang beberapa petugas Parti Amanah Negara (PAN) daripada memasuki ke bilik gerakan parti itu di sini, di mana Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengadakan sidang media.

Rizal bersama beberapa penyokongnya berada di pekarangan bangunan berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari, untuk mendengar dan mengemukakan soalan kepada Rafizi mengenai jet peribadi mewah yang dikatakan disewa khas oleh kerajaan untuk kegunaan Rosmah ke luar negara.

Bagaimanapun, kehadirannya disedari beberapa petugas PAN yang kemudian memaklumkan hal itu kepada pihak atasannya dan melarang Rizal bersama penyokong memasuki bangunan berkenaan.

Pada masa sama juga, berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar yang sudah berada di bilik sidang media supaya mengeluarkan kad perakuan media Jabatan Penerangan dan pas membuat lputan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Langkah itu bagi memastikan hanya wartawan dan jurugambar yang berdaftar sahaja berada dalam bilik sidang media manakala orang luar yang tiada kaitan diarah keluar.

Rafizi yang sepatutnya memulakan sidang media pada jam 12 tengah hari sampai lewat 45 minit dari jadual dan ketika beliau hendak melangkah masuk ke bangunan pejabat PAN, beberapa lelaki termasuk Rizal dikatakan turut hendak masuk.

Bagaimanapun, Rizal dan kumpulannya dihalang sehingga berlaku kekecohan apabila Rizal menjelaskan, kedatangannya dengan cara baik dan aman serta mahu mengemukakan beberapa soalan kepada Rafizi mengenai jet peribadi.

Usahanya itu gagal apabila petugas PAN bertegas tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk melainkan wartawan dan jurugambar.

Sebelum memulakan sidang media, Ahli Parlimen Pandan itu meminta petugasnya memastikan tidak ada orang luar masuk mengganggu programnya dan meminta maaf kepada media dengan kelewatannya.

“Maaf lewat, ada pengacau di bawah sana. Kita tidak benarkan pengacau masuk, ini sidang media saya dengan wartawan sahaja,” katanya memulakan sesi sidang media di pejabat PAN di Jalan Sedili, Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam sidang media itu Rafizi menyentuh tiga perkara iaitu mengenai pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN), jet peribadi milik kerajaan dan pembaziran wang negara oleh Rosmah.

Namun, sepanjang kenyataan mengenai jet peribadi dan Rosmah itu hanya indah khabar dari rupa kerana tidak banyak maklumat mengenainya.


29 views0 comments
bottom of page