top of page
muinsapidin

Lunaskan Impian Allahyarham Wan Khair-il Terbit Majalah Warisan

KUALA KANGSAR: Impian bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk menerbitkan sebuah majalah warisan berkaitan Kuala Kangsar semasa hayatnya, bakal dilunaskan menerusi bantuan pelbagai pihak.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hasrat Allahyarham akan dipanjangkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selain usaha daripada pihak Wanita UMNO sendiri.

“Jika sudah menjadi impian arwah untuk terbitkan majalah warisan, kita akan teruskan impian itu dan tak jadi masalah, saya akan maklumkan kepada Dr Zambry dan kami juga akan bantu,” katanya kepada media dalam Program Santai Sayang Bersama Lagenda Kraf Seni Tekat, Azizah Mohd Yusof di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan pada Rabu.

Shahrizat percaya Dr Dr Zambry akan membantu menunaikan impian Allahyarham Wan Khair-il kerana ia merupakan minat arwah dan juga isterinya, Datin Mastura Mohd Yazid terhadap bidang kesenian di Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, industri kerajinan tangan yang banyak terdapat di Kuala Kangsar boleh digilap menjadi produk pelancongan bertaraf tinggi.

Menurut beliau, kerajinan tangan seperti tekat perlu digilap untuk melahirkan lebih ramai usahawan seperti Azizah.

“Kita akan bantu mempertahankan dan pelihara warisan ini, kerana industri ini juga mampu memberi peluang kerja kepada penduduk setempat,” katanya.


21 views0 comments
bottom of page