KAMPAR: Seorang jurulatih kayak, Mohamad Jazrin Mohamad Azaha, 22, dihadapkan di Mahkamah Majistret Kampar pada Rabu atas tuduhan membenarkan akaun bank peribadinya digunakan bagi mengendalikan harta pengganas.
Mohamad Jazrin dituduh melakukan kegiatan itu antara Januari hingga Februari tahun ini menerusi akaun RHB Bank miliknya di Jalan Tasik, Gopeng.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan pengetahuannya mengendalikan harta pengganas bernama Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 24, dengan membenarkan perkhidmatan kewangan iaitu kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun bank berkenaan bagi manfaat pengganas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 1300(1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta berkenaan.
Mohamed Jazrin hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di dalam kandang mahkamah.
Majistret Mohd Azuzul Hasyimi Mohammad menetapkan 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan dokumen berkaitan kes dilengkapkan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Azriah Zaid berkata, kesalahan itu tertakluk mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak menawarkan jaminan.