KUALA KANGSAR: Umat Islam termasuk pemimpin masyarakat diseru agar sentiasa ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah, tanpa mengharapkan sebarang pulangan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ini ramai orang yang tidak ikhlas di dalam perjuangan, kebajikan, melakukan ibadah dan dalam gerakan organisasi.
``Mereka meletakkan harapan tinggi di dalam perjuangan yang tidak ikhlas itu dan akhirnya apa yang dirancangkan tidak tercapai, maka timbullah rasa kekecewaan yang amat sangat,’’
katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa masyarakat setempat serta solat maghrib bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Kubang Pekan, Kuala Kangsar pada Rabu.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dtuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Zahid berkata, sebagai pemimpin yang dipilih dan diamanahkan oleh Allah SWT, mereka boleh berbuat sesuatu yang terbaik, bukan untuk diri dan keluarga tetapi untuk rakyat dan masyarakat.
``Dengan syarat apa yang kita lakukan mesti ada ikhlasan dan dalam soal inilah, saya menyeru diri saya dan semua orang, utamakanlah keikhlasan dalam apa sahaja tugas yang diamanahkan kepada mereka
``Insya Allah, kalau kita ikhlas bekerja daripada 5 haribulan sehingga 18 haribulan Jun ini pun, Allah SWT akan memberikan ganjaran dengan syarat ikhlas dan bukan kerana mengharapkan pulangan,’’ ujarnya.
Pada majlis itu, Zahid menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin dan asnaf sebelum berbuka puasa bersama penduduk kampung dan menunaikan solat Maghrib.