KUALA KANGSAR: Empat nelayan dari Johor yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana dipercayai menceroboh perairan negara itu akan dibebaskan dan dibawa pulang bersama-sama dua nelayan dari Sekinchan hari ini (Rabu).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua mereka dapat dibebaskan setelah Presiden Indonesia, Joko Widodo menandatangani satu surat pengampunan.
Menurut beliau, ia adalah hasil pendekatan rundingan diplomatik dan saluran perundingan yang dijalankan oleh kedua-dua negara.
“Pengampunan itu diperolehi kerana hubungan baik kedua pemimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden Joko Widodo dan saya juga telah berbicang dengan Naib Presiden, Jusuf Kalla.
“Kita harap kesungguuhan kerajaan yg diperlihatkan dapat dinilaikan oleh orang ramai dan keikhlasan kita tidak terhad pada tempoh tertentu sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan sahabat AIM di USAS, Kuala Kangsar pada Rabu.
Beliau turut menasihati nelayan-nelayan Malaysia untuk lebih peka dan tidak menceroboh perairan laut negara lain serta mengunakan peranti khas yang disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industi Asas Tani dengan sebaiknya.
Dalam perkembangan lain, Zahid menegaskan tiada wang tebusan dibayar atau dijanjikan untuk membebaskan empat rakyat Malasysia dari Sarawak yang diculik di Selatan Filipina pada 1 April lalu.
Sebaliknya, kata beliau, rundingan untuk membebaskan mereka telah dibuat secara diplomatik di antara pasukan keselamatan dengan pasukan keselamatan serta beberapa individu lain.
“Jadi tuduhan dan juga lemparan mengatakan bayaran tertentu telah dibuat itu bukan di dalam bidang yang ada pada pihak berwajib seperti PDRM dan pihak lain mewakili kerajaan Malaysia,” tegasnya.