KUALA KANGSAR: Penaiktarafan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bakal melonjakkan lagi pembangunan Kuala Kangsar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, USAS akan menjadi pemangkin pembangunan secara keseluruhannya meliputi komuniti, kerajaan serta industri setempat.
“Impak serta merta boleh berlaku kepada bandar Kuala Kangsar, boleh juga dikatakan dari segi rancangan jangka masa panjang dan juga pendek, kerana ilmu adalah segalanya.
“Seperti Universiti New Castle, bandar New Castle dibangunkan melingkari universiti tersebut, segala perancangan pembangunan yang dibuat dibandar itu berkait rapat dengan universitinya,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah surat naik taraf KUISAS kepada USAS di sini pada Selasa.
Beliau memberitahu, pengiktirafan itu diberikan atas kelayakan USAS berjaya memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.
“Antaranya, dari segi kakitangan akademik, pemantapan kualiti kursus pengajian, kelestarian pengruusan tadbir urus.
“Di samping penglibatan pengurusan pihak atasan yang berpengalaman melebihi 10 tahun dalam mempelopori pengajaran dan pembelajaran progresif serta cemerlang dalam pembangunan institusi pendidikan di Malaysia,” ujarnya.
Menurut beliau, penaiktarafan itu juga membuktikan peningkatan kualiti dalam pendidikan negara.
“Perkembangan ini baik untuk universiti-universiti dalam negara kita, ia menunjukkan peningkatan kualiti pendidikan negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.