KUALA KANGSAR: Pengundi di Parlimen Kuala Kangsar dinasihatkatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai isu bermusim pembangkang yang bertujuan mengelirukan mereka. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, serangan seumpama itu sememangnya taktik pembangkang bagi menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau bagaimanapun yakin jentera BN yang kini berada pada landasan yang baik akan membantu kerajaan menepis segala dakyah yang dilemparkan pembangkang. Menurut beliau, keyakinan itu berdasarkan tinjauannya di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mendapati mereka berada di dalam keadaan yang amat baik sekali. "Saya sentiasa ingatkan mereka untuk memastikan pengundi tidak terpengaruh agar mereka keluar menunaikan tanggungjawab pada 18 Jun ini," katanya dalam sidang media selepas majlis sumbangan kasih Ramadan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Menora di sini, pada Selasa.
Beliau mengingatkan jentera BN supaya terus fokus, tidak memandang mudah terhadap pembangkang, menyelaraskan dengan semua jentera komponen dan mengikuti gerak kerja yang telah ditetapkan, sehingga ke saat akhir hari pengundian.
Antaranya, kata beliau, jentera mesti keluar mengundi awal, menyusun gerakan ahli-ahli BN untuk pergi mengundi di samping menyediakan logistic untuk memudahkan pergerakan pengundi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu pengundi bersikap rasional dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing demi masa depan kawasan parlimen itu. "Saya rasa calon BN (Datin Mastura Mohd Yazid) merupakan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat di sini," katanya. Justeru, Hishammuddin menyeru pengundi Kuala Kangsar agar memberi peluang kepada balu Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk meneruskan perjuangan arwah suaminya. "Ingin saya ingatkan pengundi di sini bahawa merekalah yang menentukan jatuh bangun nasib masa depan kawasan parlimen ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Sembrong.