top of page
muinsapidin

PRK Kuala Kangsar Terselia Baik

KUALA KANGSAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar diakui merupakan pilihan raya yang dikawal selia dengan tersusun dan terbaik sepanjang sembilan hari kempen berlangsung.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, sepanjang beliau mengikuti 12 PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU), ini merupakan proses pilihan raya yang terbaik pernah diuruskannya.

"Saya telah melalui banyak pilihan raya namun saya percaya ini merupakan yang paling terbaik, tiada pihak yang cuba mengganggu keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

"Ini jelas menunjukkan, pemikiran dan kematangan rakyat Malaysia dalam politik," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pusat pengundian awal PDRM di Dewan Tun Salleh Ismail, Kuarters IPD Kuala Kangsar, di sini pada pagi Selasa.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, proses pengundian awal melibatkan 312 pegawai dan anggota polis di sekitar Balai Polis Manong dan Kuala Kangsar.

Beliau yakin bahawa proses pengundian yang melibatkan anggota dan pegawai polis akan siap sepenuhnya sehingga 80 peratus menjelang pukul lima petang kelak. Dalam pada itu, beliau menasihatkan 32,494 pengundi supaya jangan takut untuk keluar mengundi pada 18 Jun ini dan pastikan mereka membawa kad pengenalan.

"Kami di pihak polis akan memastikan keselamatan pihak awam sentiasa terjaga dan terjamin sepanjang PRK ini," katanya memberi jaminan.


19 views0 comments
bottom of page