KUALA KANGSAR: Polis Perak telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat lanjut kes melibatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),Rafizi Ramli pada Selasa.
Semalam, empat individu telah membuat laporan polis terhadap Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR kerana didakwa mengugut untuk ‘mengebom Parlimen’ dalam satu ceramahnya di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, kertas siasatan melibatkan Ahli Parlimen Pandan itu telah dibuka dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat.
"Perlakuan beliau tersebut adalah berbaur ugutan, justeru pihak kami akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 506 KK (Kanun Keseksaan) kerana ugutan jenayah," katanya kepada pemberita dalam sidang media di pusat pengundian awal PDRM di Dewan Tun Salleh Ismail, Kuarters IPD Kuala Kangsar,di sini pada pagi Selasa.
Abdul Rahim menasihatkan mana-mana parti yang bertanding atau melibatkan penceramah untuk tidak mengadakan provokasi di antara satu sama lain.
Katanya, sebarang unsur yang melibatkan perkauman, ketenteraman dan kebudayaan harus dielakkan bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terpelihara.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, setakat ini, pihak polis telah membuka enam kertas siasatan yang melibatkan ketenteraman awam di sekitar PRK Kuala Kangsar.
Menurut beliau, enam kertas siasatan itu akan dilengkapkan dalam masa terdekat oleh pihaknya bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.