KAMPAR- Bekas pemandu mendiang Karpal Singh, C. Selvam, 29, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kampar pada Selasa atas tuduhan memandu dengan cuai dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian bekas Pengerusi DAP itu dan pembantu peribadinya, Michael Cornelius dua tahun lalu.
Selvam yang merupa seorang warga India sebelum ini dituduh melakukan perbuatan itu pada 17 April 2014 lebih kurang jam 12.40 malam di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara) di dalam daerah Kampar.
Majistret Ibrahim Mohd Ghulam dalam keputusannya berkata, setelah meneliti segala hujah pihak pembela dan pendakwa, mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes Prima Facie terhadap kes itu.
Ibrahim juga memerintahkan supaya wang jaminan sebanyak RM5,000 dipulangkan semula kepada penjamin tertuduh, Datuk Huan Cheng Guan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Abdul Wahab berkata, pihak pendakwa akan merujuk kepada pihak atasan sama ada mahu membuat rayuan terhadap keputusan pembebasan tertuduh atau sebaliknya.
Sementara itu Selvam ketika ditemui pemberita bersama peguamnya Baljit Singh berkata, dia merasa amat lega dan berterima kasih kepada Majistret kerana membebaskannya.
“Hati saya sekarang hanya untuk pulang ke kampung halaman saya di Tamil Nadu untuk kembali bertemu bapa dan ibu serta dua adik yang telah saya tinggalkan selama dua tahun lalu,” katanya.