KUALA KANGSAR: Seramai 90 warga miskin yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim dan warga emas menerima sumbangan bagi membantu mereka membuat persiapan sepanjang Ramadan.
Sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan dalam satu majlis di Masjid Raja Chulan, Ulu Kenas pada Selasa.

Samsudin berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik, lebih-lebih di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
“Sumbangan itu diharap serba sedikit membantu mereka untuk membuat persiapan di bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Di dalam ucapannya, Samsudin menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikurniakan Allah dan bersama-sama berusaha untuk mengekalkannya.
“Tanggungjawab menjaga negara bukan hanya terletak pada pemimpin, tetapi rakyat juga memainkan peranan penting untuk bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun ramai rakyat asing yang sanggup menggadai nyawa untuk mencari rezeki di negara ini, malangnya ada pihak yang cuba menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.