KUALA KANGSAR: Baki tempoh lima hari berkempen di PRK Kuala Kangsar dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pergerakan Wanita UMNO bagi menjejaki pengundi yang masih belum dapat dikesan selain mereka yang berada di luar Perak.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, Wanita rancak menjalankan kerja-kerja akhir di samping membantu kepimpinan Barisan Nasional (BN) mengesan pengundi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid.
Menurut beliau, setakat ini, pihaknya telah berjumpa kira-kira 85 peratus pengundi, yang kebanyakan terdiri daripada pengundi Melayu.
“Selain itu kita juga berkerjasama dengan komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC untuk mengesan dan dapatkan pengundi Cina dan India, manakala pengundi Orang Asli pula, Alhamdulillah mereka sudah bersama dengan kita,” katanya ketika ditemui pada program bersama pengusaha wanita di Koperasi Industri, Kampung Kepala Bendang Sayong, Kuala Kangsar.
Rosni berkata, kedudukan Mastura sebagai calon BN dilihat mampu meningkatkan martabat kaum wanita, selain dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.
“Kebanyakan pengusaha labu di Kepala Bendang ini dari kaum wanita merangkumi 18 pengusaha, mustahaknya pengundi di sini untuk memenangkan calon wanita dan insya Allah Datin Mastura juga bukanlah asing di kampung ini.
“Kita akan maklumkan kepadanya beberapa hasrat pengundi di sini, khususnya untuk pengusaha industri dan harapan mereka untuk mengembangkan perniagaan,” katanya sambil menyatakan keyakinan bahawa calon BN itu akan berusaha membantu golongan tersebut.