top of page
muinsapidin

TPM Luang Masa Ziarah Jenazah Anggota RELA

KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi seorang anggota RELA yang maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kg Ketior, Manong pada petang Ahad.

Mangsa, Zainul Fuad Zahar, 50 yang merupakan Timbalan Ketua Platun Rela (Chandan) ketika itu baru sahaja selesai menghadiri Program Sukarelawan Rela bersama TPM sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya itu.

Hajat terakhirnya untuk berkawal dan membuka pintu untuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tertunai sebelum terlibat dengan sebuah kemalangan ketika cuba memotong dan berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis Proton Exora.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan memastikan tuntutan insurans bagi insiden yang melibatkan mangsa itu akan diuruskan dengan sebaik mungkin.

“Saya harap keluarga Allahyarham bersabar dan saya difahamkan bahawa beliau merupakan seorang anggota RELA yang sangat sangat aktif.

“Saya juga tahu beliau menghadiri majlis saya sebentar tadi dan dalam perjalanan pulang beliau telah terlibat dengan kemalangan di jalan raya dengan sebuah kereta lain,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir dalam lawatan ke BIlik Mayat, Hospital Kuala Kangsar itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan empat orang anak calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid yang menyampaikan rasa kesedihan mereka di atas pemergian seorang anggota RELA yang berdedikasi.

Hasil bedah siasat, mangsa yang merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik mengalami kecederaan dalaman “polytrauma” akibat kejadian dan maut di tempat kejadian.


3 views0 comments
bottom of page