top of page
muinsapidin

Tiada Laporan Diterima SPR Berhubung Kempen Provokasi Di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang laporan berhubung kain rentang atau papan iklan berunsur provokasi pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar setakat ini. Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah berkata setakat hari kesembilan perjalanan kempen PRK itu, tiada pihak yang tampil membuat aduan kepada SPR mengenai perkara itu.

"Sekiranya terdapat kain rentang dan papan iklan yang dinaikkan tidak mengikut syarat yang telah ditetapkan maka pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya akan menurunkannya. "Di dalam pasukan itu ada wakil-wakil parti yang bertanding termasuk Barisan Nasional, PAS, Amanah dan Bebas. Jadi sekiranya perkara itu berlaku kita akan meminta kerjasama mereka untuk memaklumkan kepada parti masing-masing untuk turunkan kain rentang dan papan iklan terbabit," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan SPR bagi menghadapi pengundian awal di Balai Polis Manong di sini, Isnin. PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas, berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, 5 Mei lepas. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 2013, Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi. Seramai 32,949 orang layak mengundi (termasuk 312 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir) pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan SPR sehingga 7 Mei lepas.

Pengundian berlangsung 18 Jun ini. (Bernama)


9 views0 comments
bottom of page