KUALA KANGSAR: Kerajaan meluluskan sebanyak RM49.5 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk daerah Kuala Kangsar bagi projek di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan itu meliputi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Siput Chandan dengan peruntukan RM12 juta, Sistem Saliran Perbandaran Kuala Kangsar (RM30 juta) dan Pemulihan Koridor Sungai Perak di bahagian Kuala Kangsar sebanyak RM7.5 juta. "Projek-projek itu bagi mengatasi banjir, sistem saliran, hakisan tebing sungai dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Silaturrahim Bersama Penduduk Kuala Kangsar di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong melihat tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed bersekongkol dengan pihak pembangkang telah menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang negarawan.
Bagaimanapun, kata beliau, tindakan Tun Mahathir itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.
"Saya melihat ia tidak menjejaskan kempen jentera BN di PRK Parlimen Kuala Kangsar," ujarnya.