KUALA KANGSAR 13 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan berjumlah RM350,000 untuk menaik taraf Masjid Sultan Abdul Jalil, Kampung Bendang Panjang dekat sini.
Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid selepas selesai menunaikan sembahyang tarawih di masjid berkenaan, pada Ahad malam.
Sebelum ini, masjid tersebut memohon peruntukan untuk proses naik taraf dan dengan kehadiran Ahmad Zahid, permohonan tersebut diluluskan dengan jumlah RM350,000.
Peruntukan berkenaan merangkumi kerja-kerja pemasangan karpet, penghawa dingin, mengecat masjid dan sebagainya.
Dalam pada itu, selesai menunaikan sembahyang tarawih, Ahmad Zahid turut meluangkan masa menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Pengerusi masjid, Mohamed Omar Mazar Ali.
Anak-anak calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, Wan Muhammad Amar, Wan Imar dan Wan Iskandar turut hadir.