KUALA KANGSAR: Pengerusi Barisan Nasional Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menasihatkan orang ramai agar tidak terlupa identiti pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebenarnya sisa daripada ahli PAS, meskipun berubah angin.
Dr Zambry berkata, rakyat perlu mengelak daripada menjadi mangsa permainan politik dan tersepit di antara kedua-dua perbalahan yang akan membawa impak negatif kepada pembangunan.
Menurut beliau, kesemua pucuk pimpinan yang beralih arah ke dalam Amanah itu masih lagi mempunyai kekeliruan identiti dan ini akan membawa kepada percaturan sesama sendiri di dalam kedua-dua parti tersebut.
"Dulu, dia suruh pilih PAS, kata lebih baik daripada UMNO, sekarang mereka sudah gaduh, dia suruh pilih PAN pula, akhirnya rakyat yang akan jadi bahan main mereka sebab mereka berfikiran kononnya Amanah lebih baik daripada PAS.
"Kita di Barisan Nasional, tidak pernah buat macam itu kepada rakyat, rakyat jangan lupa, kalau dah duduk lama satu tempat, pergi tempat baru, DNAnya masih ada, dia adalah DNA yang lama, itulah Amanah," katanya kepada selepas Majlis Ramah Mesra Bersama MB dan Komuniti Cina di Tokong Chi Mah Mew,Kg Talang, di sini pada petang Isnin.
Menurut Dr Zambry, beliau begitu berharap agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa sebahagian besar pimpinan Amanah masih lagi dibayangi oleh serpihan perjuangan PAS yang tidak berkesudahan.
Oleh itu, katanya, rakyat harus bijak menilai sebuah parti yang memperjuangkan penyelesaian isu setempat dan bukannya masih dibelenggu dengan perpecahan dan perpindahan pucuk pimpinan yang sepatutnya mewakili suara masyarakat.
"Kita memilih sebuah parti yang benar-benar boleh melakukan kerja dan menunaikan janjinya kepada rakyat, bukan setakat cakap kosong sahaja.
"Contohnya Datin Mastura, adalah calon pilihan setelah mengambil kira suara dan pendapat orang ramai, di mana beliau merupakan seorang yang baik, tidak memilih kaum untuk dibantu dan sederhana dalam semua aspek kepimpinan, itulah yang perlu dipertimbangkan secara jelas oleh rakyat di Kuala Kangsar," ujarnya.