top of page
muinsapidin

Tun Mahathir: Jangan Sampai Orang Kata Nyanyuk - Zahid

KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed supaya menutup mulut dan tidak membuat serangan peribadi terhadapnya.

Beliau berpendapat Tun Mahathir sepatutnya jangan bercakap sebarang perkara yang akhirnya orang kata beliau (Tun Mahathir) nyanyuk.

“Saya pun berpendapat bahawa eloklah tutup mulut daripada bercakap sebarang perkara yang akhirnya orang kata nyanyuk, itu saja kenyataan saya, jangan tanya lagi mengenai dia.

“Elok tutup mulut sebelum orang cakap dia nyanyuk,” kata Zahid kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan berjumpa dengan warga dan pegawai PDRM di Markas Taktikal (MARTEK) PDRM, Kuala Kangsar pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar , Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dan serangan Tun Dr Mahathir dalam satu siri ceramah di Kuala Kangsar hari ini yang mengatakan lebih baik beliau (Zahid) menjadi ahli perniagaan daripada menjadi ahli politik.

Ditanya mengenai tahap kempen, Zahid berkata, beliau amat yakin pengundi-pengundi akan terus memberikan kepercayaan kepada calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid.

“Insya Allah, setakat 1,082 majoriti, kita akan usahakan lebih daripada itu kerana dulu terdapat kira-kira 2,600 ahli UMNO yang memegang jawatan di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan yang tidak keluar mengundi.

“Kita harap itu tidak akan berlaku lagi dan kali ini mereka akan keluar mengundi untuk memberikan sokongan kepada calon BN,” ujarnya.


15 views0 comments
bottom of page