KUALA KANGSAR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya untuk menyertai UMNO semula tetapi dengan bersyarat …Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar daripada parti itu terlebih dahulu.
“Buang Najib, balik kepada UMNO yang asal kemungkinan saya akan timbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Selamatkan Malaysia: Deklarasi Rakyat di Taman Chandan Puteri, di sini pada petang Ahad.
Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 300 penyokong Parti Amanah Negara (Amanah), Mahathir berkata, beliau amat hampa dengan pengurusan pimpinan UMNO yang didakwanya tidak lagi mengamalkan demokrasi.
Beliau mendakwa, parti yang ada sekarang bukan lagi UMNO, sebaliknya parti Najib yang kononnya semua ahli kena terima apa sahaja yang dikatakan Najib, tanpa boleh menegur.
“Kononnya, dia dipilih oleh rakyat, kononnya demokrasi tak benarkan kita menurunkan pemimpin. Kalau dahulu saya bersetuju kepada Presiden, sebagai ahli UMNO saya boleh bawa usul, untuk dia letak jawatan tetapi hari ini dilarang,” ujarnya.
Dakwanya lagi, beliau keluar daripada UMNO dan mengadakan satu gerakan untuk menentang Najib kerana tidak ada lagi kebebasan bersuara di dalam parti itu.
Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang yakin bahawa Mahathir akan mempertimbangkan semula untuk kembali menyertai UMNO apabila tiba masanya.