KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk anak-anak anggota polis akan dibina di Perak, tahun ini.
Menurut beliau, ia tidak kaitan dengan PRK Kuala Kangsar tetapi sebagai mengenang jasa anggota polis dan anak-anak mereka.
Zahid berkata, MRSM itu adalah khusus untuk anak-anak polis di seluruh negara dan kawasannya telah diputuskan oleh kerajaan untuk dibina dalam tahun ini.
“Kawasan itu telah diputuskan di mana dan telah dibeli tanah itu, tender akan keluar selewat-lewatnya akhir bulan ini.
“Tempat itu akan diumumkan oleh Ahli Parlimen di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dan berjumpa dengan warga dan pegawai PDRM di Markas Taktikal (MARTEK) PDRM, Kuala Kangsar pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir , Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Dalam pada itu, Zahid menyifatkan PRK Kuala Kangsar sebagai yang terbaik dalam sejarah kerana setakat ini pihak polis hanya menerima 11 laporan dan telah membuka lima kertas siasatan.
“Kita harapa ianya dapat dikekalkan sehingga 18 Jun ini dan saya ingin mengulangi buat kali keempat bahawa telah sampai tahap kematangan berpolitik di Malaysia dan ini harus dipertahankan oleh semua parti politik,” ujarnya.
Zahid berkata, BN tidak memprovokasi jenteranya untuk melakukan sesuatu tindakan yang diluar tata etika pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.
“Saya harap bukan hanya sekadar pematuhan terhadap Akta SPR ataupun Kanun Kesiksaan ataupun Akta Polis tetapi lebih daripada itu ialah hati dan nurani mesti menghormati secara matang sistem demokrasi yang berjalan dengan baik di Malaysia,” katanya.