KUALA KANGSAR: Kerajaan bertekad untuk menjadikan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) sebagai salah satu agenda utama negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan yang lebih hebat kepada PKS bagi merancakkan pembangunan ekonomi negara.
“Sebagai sebuah kerajaan, kita sedar bahawa PKS memainkan peranan yang cukup besar kepada seluruh negara," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Mengenai Insentif, Geran Dan Pinjaman kepada usahawan PKS Perak di Dewan Serbaguna, Taman Sri Mercu di sini pada Ahad.
Mustapa memberitahu, di Perak sahaja terdapat kira-kira 60,000 orang usahawan PKS dan kerajaan akan memastikan PKS ini terus berada di dalam arus perdana.
"Dari segi ikhtiar dan program, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan kewangan melalui saluran-saluran seperti MARA, TEKUN, Amanah Ikhtiar dan sebagainya," ujarnya.
Jelasnya, kerajaan juga telah menyelaraskan semua kemudahan itu di bawah Majlis Pembangunan PKS yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita hendakkan ia menjadi agenda yang besar yang terpenting dalam agenda pembangunan ekonomi negara," kata beliau.
Selain itu, kata Mustapa, kerajaan juga mahu lebih ramai usahawan PKS mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara memandangkan bilangan yang berjaya berbuat demikian masih tidak begitu ramai.