KUALA KANGSAR: Politik khidmat bakti Pemuda Barisan Nasional (BN) diterjemahkan dalam Karnival Kerjaya Pemuda BN 2016 di Kuala Kangsar.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, lebih 1,000 individu telah disenarai pendek dan mendapat penempatan pekerjaan dalam karnvial yang berlangsung selama dua hari itu.
“Ini menandakan betapa pentingnya politik khidmat bakti, politik nilai dan makna yang dibawa Pemuda BN.
“Kita tidak cakap soal harapan kosong, tetapi kita berjaya memberi harapan yang sebenar kepada rakyat, kita membawa politik bermakna,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan karnival itu di dataran Pavillion pada Ahad.
Beliau memberitahu, usaha Pemuda BN kearah politik khidmat bakti juga diyakini dapat membentuk persepsi positif dikalangan orang muda terhadap BN, kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat.
“Kita tidak amalkan politik kebencian, politik serangan peribadi yang dapat dilihat selama seminggu berkempen pada Pilihan Raya Kecil ini,” jelasnya.
Seramai 4,000 orang telah berkunjung ke karnival itu yang menawarkan lebih 5,000 pekerjaan daripada 100 syarikat dalam dan luar negeri Perak.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut melancarkan Kedai Jimat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang merupakan usaha kementeriannya bersama Majlis Belia Malaysia.
“Kedai bergerak ini adalah bagi menjual barang perlu dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Ia juga memberi peluang perniagaan kepada usahawan muda dapat menyertai program kedai jimat sebgai pengedar,” jelasnya berkenaan objektif penubuhan kedai bergerak tersebut.
Tambah beliau, KBS akan menjalinkan kerjasama dengan pengedar dan pemborong untuk mendapat produk keperluan dengan harga lebih rendah dari pasaran.