IPOH: Datin Mastura Mohd Yazid boleh melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada 18 Jun ini, kata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Bagaimanapun beliau berkata calon Barisan Nasional itu perlu menjaga adab, mematuhi etika berpakaian yang bersesuaian dan tidak terlalu menonjolkan diri kepada khalayak ramai.
"Mastura boleh keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya itu," katanya kepada Bernama di sini.
Terdahulu, di dalam sidang media di kediamannya, Mastura yang masih dalam iddah berkata, beliau akan merujuk kepada pakar agama sebelum membuat keputusan sama ada keluar mengundi atau sebaliknya.
Mastura, 55, berkata beliau sangat berharap agar dapat keluar, namun akan akur dengan apa jua keputusan pihak pakar agama berhubung perkara itu. "Kehendak diri untuk keluar menunaikan kewajiban mengundi sangat kuat, namun sekiranya ada berkaitan hal agama melibatkan batas untuk saya keluar mengundi, saya akan dapatkan nasihat orang yang berilmu sebelum membuat keputusan. "Bagaimanapun, saya mendoakan semua penduduk agar berada dalam keadaan sihat dan beramai-ramai keluar mengundi di hari pengundian nanti," katanya dalam sidang media ditemani anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, 19.
Mastura memberitahu, beliau sudah sekurang-kurangnya empat kali keluar mengundi sejak menetap di Kuala Kangsar sebelum ini.
"Sejak dahulu, setiap kali musim pilihan raya, saya tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab dan akan keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin," katanya.