top of page

Jambatan Manong: Amanah Cuba Kelirukan Rakyat

muinsapidin

KUALA KANGSAR: Walaupun sudah berkali-kali diperjelaskan, namun pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) masih cuba mengelirukan rakyat kononnya majlis pecah tanah pembinaan Jambatan Manong telah diadakan banyak kali.

Jika sebelum ini Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi mendakwa majlis pecah tanah sudah lima kali diadakan, timbalannya Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula menuduh ia sudah dilakukan berpuluh-puluh kali.

Berucap di hadapan kira-kira 20 penyokongnya di Kg Piol, Manong, ADUN Changkat Jering itu memperlekehkan kononnya projek pembinaan jambatan itu hanya janji kosong.

“Semalam, (Perdana Menteri) Najib Tun Razak datang luluskan projek jambatan, ha… tengok ada tak jambatan, kita sama sama tunggu,”katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut berkata, beliau telah menyemak beberapa kali, namun tiada sebarang upacara pecah tanah sebelum ini.

"Cerita permohonan Jambatan Manong ini (memang) ada permohonan dan betul, tapi cerita pecah tanah dah beberapa kali saya semak dengan ADUN Manong…tak tahulah kalau-kalau orang yang lebih lama dari kami boleh ingat. Yang saya tahu pecah tanah tak ada,” tegasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat telah mengumumkan peruntukan RM43.5 juta untuk membina jambatan tersebut yang akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong.

Isu pembinaan ini adalah antara lima agenda yang mahu diperjuangkan oleh calon Barisan Nasional, Datin Mastura Mohd Yazid.

Menurut Mastura, pembinaan jambatan itu adalah perkara utama yang ingin diperjuangkan oleh arwah suaminya.


bottom of page